Friday, January 7, 2011

Tinta Kasih

Duduk berhadapan tingkap menyaksikan bumi dibasahi hujan menyebabkan saya mengelamun sebentar teringatkan kampung halaman. Terasa sayu hati apabila suara emak dan ayah masih terngiang ngiang seperti baru semalam saya melangkah masuk untuk berlepas ke tempat baru ini dan kalau diikutkan perasaan, sudah pasti saya akan menuju ke lapangan terbang untuk ke kampung halaman. Tapi apakan daya, perjuangan disini belum selesai dan tanggungjawab ini akan cuba dipikul sebaiknya.

Mungkin apabila kita berbicara tentang seorang lelaki dewasa yang sentiasa begitu rapat dengan ibunya akan ada segelintir insan yang akan mencebik dan menuduh mereka sebagai "anak emak". Tidak kurang dari itu, mereka juga sering dilabel sebagai anak manja dan tidak mampu untuk berdikari apabila insan yang bernama emak, umi, mama, ibu tiada di sisi. mentaliti stereotipikal ini juga seolah olah berterusan dan ada wanita yang mengelak untuk mempunyai sebarang hubungan dengan lelaki yang dilabel sebagai anak emak ini. Jadi di mana salahnya jika kita menyayangi dan kasih akan seorang insan yang bernama ibu?. Mungkin ada kes terpencil yang sering menjadi bahan momokan oleh masyarakat kita bahawa lelaki jenis ini tidak pandai berdikari dan membuat keputusan, akan tetapi, seorang ibu hanyalah mahukan yang terbaik untuk anak anaknya dan tiada yang sanggup melihat anak yang dibesarkan menjadi seorang yang tidak mempunyai hala tujuan dan lebih parah lagi sebagai sampah masyarakat. sesungguhnya kasih ibu tiada berpenghujung.

Namun, jika kita lihat paparan media tentang kes pembuangan bayi yang semakin tidak terkawal, kita boleh agak bahawa dunia ini sudah hampir di penghujungnya. Bagaimana seorang ibu sanggup membuang dan mencampakkan bayi yang dikandung selama sembilan bulan seolah olah ia adalah sampah dan perlakuan menjijikan ini mungkin haiwan sendiri tidak akan melakukannya?.. Pendedahan demi pendedahan dibongkar oleh media baik aliran perdana mahupun badan bukan kerajaan. Dan keadaan ini masih berterusan walaupun 
mereka tahu bahawa janji Allah tentang hari pembalasan itu adalah benar dan pasti akan datang.






 Di suatu perspektif melalui pandangan dan persekitaran yang berbeza dari negara kita yang semakin rancak dengan pembuangan bayi ialah negara Palestine. Di sana, hampir setiap hari permata dan generasi baru terbunuh diragut dari ibu yang selama ini cuba mempertahankan anak anak mereka. Anak anak mereka dibunuh dan dipisahkan dari ibu bapa mereka. Terdapat juga laporan yang mana anak anak muda palestine yang hanya berbekalkan batu batu kecil ditangkap dan ditahan oleh askar rejim zionis yang tidak berperikemanusiaan dan hilang tanpa khabar berita. Jika diri ini seorang adiwira, ingin cuba saya menghulurkan tangan memberikan pertolongan dan keadilan untuk mereka, dan titipan doa agar mereka tabah serta penderitaan saudara Islam kita disana berakhir... 






jadi ada perbezaan? sekadar renungan dan iktibar bersama.. salam ukhwah

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...